
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
MAJLIS MESRA AIDILFITRI: MASJID JAMEK BANDAR BARU UDA (MJBBU) 1446H / 2025
Alhamdulillah telah berlangsung Majlis Mesra Aidilfitri 1446H / 2025 anjuran Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) semalam dan telah mendapat sambutan yang amat baik dari jemaah masjid, ahli kariah Bandar Baru Uda dan masyarakat sekitar. Majlis ini diadakan di perkarangan masjid dan telah bermula seawal jam 8.45 pagi sehingga 12.45 tengah hari.
Majlis telah bermula dengan kata alu-aluan oleh pengacara majlis, Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan dan diteruskan dengan bacaan selawat dan marhaban yang dipimpin oleh imam-imam, bilal-bilal MJBBU bersama-sama Ahli Jawatankuasa MJBBU dan Sahabat Sukarelawan MJBBU serta bacaan doa oleh Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria.
Majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi MJBBU, Ustaz Md Burhanuddin bin Haji Tibek, diikuti dengan penyampaian cenderahati dari pihak Pengurusan MJBBU kepada mantan Pelajar Industri, Saudara Afdhalluddin bin Ayub. Majlis diteruskan dengan pemberian duit raya kepada anak-anak yang hadir oleh Pengerusi MJBBU bersama-sama Timbalan Pengerusi MJBBU, Tuan Haji Rozan bin Saat.
Disamping menikmati juadah hari raya oleh tetamu dan hadirin, majlis ini diselangi dengan persembahan-persembahan nasyid dan lagu oleh bilal-bilal MJBBU sendiri, iaitu Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan dan Bilal Muhammad Zulfikri Amin bin Zulkifli.
Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih di atas kehadiran para jemaah masjid, ahli kariah Bandar Baru Uda serta masyarakat sekitar yang memeriahkan majlis kali ini sekaligus mengeratkan lagi silaturrahim.
واتقوا الله الذى تساءلون به والأرحام (سورة اللنساء: 01)
"Bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-yebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat."
قال رسول الله ﷺ : ما من عمل حسن أسرع ثوابا من صلة الرحم وما من عمل سيئة أسرع عقوبة من البغي (روح البيان 2/165)
Rasulullah SAW bersabda: "Tiada amal baik yang paling cepat balasan pahalanya berbanding silaturrahim dan tiada amal buruk yang paling cepat balasan hukumannya berbanding berbuat jahat."