Latar Belakang



Maksudnya: " Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba' yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)." (Surah al-Taubah: 108)

Institusi masjid adalah syiar Islam yang amat mulia. Masjid yang diurus dan di imarah dengan betul sesuai dengan kehendak syara’ manfaatnya akan turut dinikmati oleh penduduk yang berada di sekitar masjid tersebut. Ini kerana asas masjid adalah ‘Taqwa’ yang merupakan nilai sejagat yang mesti dimiliki oleh umat Islam.

Berdasarkan potensi, peranan dan fungsi dimiliki oleh masjid, sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, maka masyarakat Islam yang menjadi penduduk majoriti di kawasan Bandar Baru Uda ini telah mengambil inisiatif menubuhkan Jawatankuasa Pembinaan pada bulan Mac 1990 bertujuan mendirikan sebuah masjid di kawasan ini. Untuk sementara waktu, masyarakat Islam menjadikan Surau al-Falah sebagai tempat untuk menjalankan aktiviti kerohanian, pengimarahan dan kemasyarakatan.

Di peringkat permulaan, Jawatankuasa Pembinaan telah mengambil pendekatan mengutip derma dari rumah ke rumah. Usaha ini telah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM 1.5 juta. Jawatankuasa ini juga mengusahakan inisiatif sumbangan daripada syarikat swasta seperti pihak Uda menyumbangkan sebanyak RM 2 juta dalam pembiayaan kos pembangunan masjid serta peruntukan kerajaan yang akhirnya berjaya mengumpulkan dana untuk membina masjid sebanyak RM 4.2 juta.

Pada bulan Julai 1994, bermulalah kerja-kerja pembinaan masjid di atas sebidang tanah yang terletak bersebelahan sekolah agama. Masjid telah siap di bina pada 31 Disember 1996. Maka pada hari Jumaat, 3 Januari 1997, masjid yang dikenali dengan nama Masjid Jamek Bandar Baru Uda ini, pertama kali digunakan. Masjid ini memiliki keluasan 18,640 kaki persegi yang boleh memuatkan 5,400 jemaah. Kini masjid ini menaungi sebanyak 8 buah surau.

Maksudnya: " Hanyasanya yang layak memakmurkan yakni menghidupkan masjid-masjid Allah itu, ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat serta mendirikan solat dan menunaikan zakat. Dan tidak takut melainkan kepada Allah yakni dengan adanya sifat-sifat tersebut, maka adalah diharapkan mereka, menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk." (Surah al-Taubah: 18)

Atas dasar ini, jawatankuasa masjid telah dibentuk selaras dengan kehendak Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor yang bertujuan untuk merancakkan aktiviti dan program pengimarahan masjid agar ia sentiasa hidup subur dan mekar berkembang dalam komuniti masyarakat Islam di Bandar Baru Uda ini.

Berbekalkan misi: " Menjadikan Masjid Sebagai Pusat Perkembangan Ilmu Pengetahuan & Pemikiran Ke Arah Taqwa", Jawatankuasa Masjid telah menggariskan beberapa objektif agar masjid ini sentiasa bergerak berdasarkan halatuju yang betul:

1. Masjid sebagai institusi rujukan dalam kehidupan seharian;

2. Masjid sebagai pusat perpaduan ummah dan pembangunan masyarakat;

3. Melahirkan masyarakat penyayang dan kekal dengan Islam;

4. Mengembang budaya ilmu dan kefahaman Islam;

5. Memupuk rasa cinta kepada masjid;

6. Dan menjadikan masjid mampu berdikari.

Jawatankuasa Masjid ini diketuai oleh Pengerusi, dibantu oleh Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Penolong Setiausaha dan Bendahari serta 6 biro khas iaitu Biro Pengimarahan & Pendidikan, Biro Hal Ehwal Wanita (HELWA), Biro Ekonomi, Biro Pembangunan Aset/Prasarana, Biro Rakan Muda & Sukarelawan dan Biro Kebajikan & Keceriaan. Bagi memastikan urus tadbir masjid ini bergerak dengan teratur, kemas dan tidak bertindan tugas antara satu sama lain, maka Jawatankuasa Masjid telah menyusun sistem pentadbiran dan pengurusan yang sistematik dengan menggaji seramai 10 anggota pekerja yang berkhidmat secara tetap dengan masjid merangkumi Pentadbiran dan Pengurusan Masjid.