
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
PROGRAM SEMARAK SUBUH JOHOR DI MJBBU
Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) melalui kempen Solat Subuh berjemaah oleh Jabatan Agama Islam Negeri Johor, telah mengadakan program Semarak Subuh Johor hari ini (7 Mac 2025) dan program ini buat kali ke-2 di masjid ini telah mendapat sambutan yang baik dengan jumlah 900 orang jemaah lelaki dan wanita.
Program Semarak Subuh Johor di MJBBU kali ini telah dihadiri bersama oleh Yang Berhormat Tuan Mohd Hairi bin Mad Shah. Program ini bermula seawal 3.45 pagi bersinambungan dengan program Qiamullail Ihya Ramadhan MJBBU.
Program Qiamullail telah selesai pada jam 5.00 pagi yang dipimpin oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria dan diteruskan dengan aktiviti bersahur. Seusai Solat Subuh berjemaah yang dipimpin oleh Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin, program diteruskan dengan aktiviti kemuncak Semarak Subuh Johor iaitu bacaan Al-Kahfi dan taklimat berkenaan peranan MAINJ dalam pengurusan Zakat, Baitulmal, Wakaf dan sebagainya yang disampaikan oleh Ustaz Dr. Mohd Firdaus bin Abd Hamid, Amin Baitulmal Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).
Pihak masjid mengucapkan tahniah di atas penyertaan dan keterlibatan para jemaah di dalam program ini. Program yang sarat dengan amal ibadah, solat berjemaah di masjid, iktikaf dan mengimarahkan masjid, melazimi majlis Al-Quran dan majlis ilmu. Kesemuanya dijanjikan pahala yang lumayan oleh Allah SWT. Semoga Allah menerima segala amal ibadah kita.
قال ﺭﺳﻮﻝ ﺍﻟﻠﻪ ﷺ : إن أثقل صلاة على المنافقين صلاة العشاء وصلاة الفجر ولو يعلمون ما فيهما لأتوهما ولو حبوا
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya solat yang paling berat bagi kaum munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Sekiranya mereka mengetahui pahala pada keduanya, nescaya mereka akan mendatanginya meskipun dengan merangkak."
قال الامام النووي رحمه الله : لو يعلمون ما فيهما من الفضل والخير ثم لم يستطيعوا الإتيان إليهما إلا حبوا لحبوا إليهما ولم يفوتوا جماعتهما في المسجد (صحيح مسلم بشرح النووي: 5/131)
Al-Imam al-Nawawi RHM berkata: "Sekiranya mereka (kaum munafik) mengetahui fadilat dan kebaikan di dalam solat Subuh & Isyak, kemudian mereka tidak mampu mendatanginya melainkan dengan merangkak, nescaya mereka akan merangkak kepadanya dan mereka tidak akan terlepas dari berjemaah pada keduanya di masjid."