
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
PROGRAM TADARUS AL-QURAN SEPANJANG RAMADAN 1446H
Di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini, pihak masjid mengadakan Program Tadarus Al-Quran Ramadan dan sudah bermula seawal 1 Ramadan pada Sabtu yang lalu (1 Mac 2025). Program ini telah mendapat sambutan yang baik dan seramai 90 orang yang telah menyertai, terdiri dari tadarus muslimin dan tadarus muslimat.
Program Tadarus Al-Quran Ramadan ini berjalan secara berasingan bagi muslimin dan muslimat. Untuk muslimin dilaksanakan setiap selepas solat sunat Tarawih di Dewan Solat Utama MJBBU manakala untuk muslimat pada setiap hari bermula jam 8.00 pagi di Dewan Abd Samad MJBBU.
Sesuai dengan ketibaan bulan Ramadan ini, bulan yang diturunkan Al-Quran, amatlah dianjurkan kita untuk membaca Al-Quran. Apatahlagi beriktikaf di masjid sambil beribadat dan membaca Al-Quran.
Pihak masjid mengucapkan tahniah di atas penyertaan para jemaah bagi menghidupkan bulan Ramadan dengan ibadat membaca Al-Quran dan beritikaf di masjid ini sekaligus mengimarahkan masjid. Semoga Allah SWT memberi ganjaran yang berlipatganda kepada para hambaNya yang menghidupkan Ramadan dengan Al-Quran.
قال سلطان العلماء العز بن عبد السلام السلمي الشافعي : ويستحب الإكثار من تلاوة القرآن ومن الجود والإفضال في هذا الشهر للمعتكف وغيره
Sultan Al-Ulama, Al-Imam Al-Izz bin Abdissalam Al-Sulami Al-Syafie berkata: "Dan disunatkan memperbanyakkan membaca Al-Quran dan bersikap dermawan di bulan ini (Ramadan) bagi orang yang iktikaf dan selainnya."
وفي الصحيحين عن ابن عباس رضي الله عنه قال : كان رسول الله ﷺ أجود الناس بالخير، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل عليه السلام، وكان يلقاه جبريل كل ليلة في رمضان حتى ينسلخ، فيعرض عليه النبي ﷺ القرآن، فإذا لقيه جبريل كان رسول الله ﷺ أجود بالخير من الريح المرسلة (مقاصد الصوم 33)
Dan di dalam Al-Sahihain, dari Ibn Abbas, beliau berkata: "Adalah Nabi SAW orang yang paling pemurah melakukan segala jenis kebaikan, dan Baginda lebih pemurah di dalam bulan Ramadan ketika Jibrail menemui Baginda pada setiap malam dalam bulan Ramadan, Jibrail menemui Baginda menyemak bacaan Al-Quran dari Nabi SAW. Apabila baginda didatangi Jibrail, Baginda akan menjadi lebih pemurah dari angin yang bertiup."