
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
MAJLIS BACAAN SURAH AL-FATH, DOA AWAL RAMADAN & SOLAT SUNAT TARAWIH RAMADAN 1446H
Alhamdulillah, pihak Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah mengadakan Majlis Bacaan Surah Al-Fath & Doa Awal Ramadan bersempena ketibaan Ramadan 1446H semalam (1 Mac 2025). Majlis telah mendapat sambutan yang baik dikalangan jemaah, ahli kariah dan masyarakat sekitar Bandar Baru Uda.
Pelbagai fadilat membaca Surah Al-Fath di awal Ramadan sebagaimana yang telah dihuraikan oleh para ulama, termasuklah diberi perlindungan oleh Allah SWT dan dimurahkan rezeki sepanjang tahun.
Majlis yang bermula seusai solat fardu Maghrib berjemaah, diteruskan dengan bacaan Surah Al-Fath yang dipimpin oleh Imam Ibrahim Adham Afif bin Ismail dan bacaan doa awal Ramadan susunan Al-Imam Al-Sheikh Ali Zainal Abidin yang dipimpin oleh Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria. Majlis diteruskan dengan bacaan-bacaan Istighfar oleh Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa dan Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin.
Dengan ketibaan Ramadan 1446H pula, solat sunat Tarawih sebanyak 20 rakaat serta solat sunat Witir telah diimamkan oleh para imam dan bilal Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) iaitu Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin, Imam Afdhaluddin bin Ayub, Imam Ibrahim Adham Afif bin Ismail, Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa dan Bilal Mohamad Khairulanuar bin Mohamad Dun. Bagi Tarawih berikutnya, para jemaah boleh ikuti jadual Imam Tarawih Jemputan yang telah diiklankan.
Pihak masjid mengucapkan jutaan tahniah kepada para jemaah yang hadir ke Majlis Bacaan Surah Al-Fath dan turut menyertai solat sunat Tarawih berjemaah di masjid dan sekaligus mengimarahkan masjid ini. Semoga Allah SWT memberi kudrat kepada kita agar dapat istiqamah bersungguh-sungguh beribadat di bulan Ramadan kali ini dan mengekalkan momentum ibadat yang maksimum serta menjauhi sebarang kelakuan maksiat dan zalim.
ونص ابن رجب الحنبلي : قال معلى بن الفضل : كانوا يدعون الله ستة أشهر أن يبلغهم شهر رمضان ثم يدعون الله ستة أشهر أن يتقبله منهم
"Dan telah menaskan Al-Imam Al-Hafiz Ibn Rajab Al-Hanbali: "Mu'alla bin Al-Fadal berkata: "Mereka (ulama Salaf) berdoa kepada Allah enam (6) bulan (sebelum) agar disampaikan kepada bulan Ramadan. Kemudian mereka berdoa kepada Allah enam (6) bulan (selepasnya) agar amalan mereka diterima Allah."
وقال يحيى بن أبي كثير كان من دعائهم: اللَّهُمَّ سَلِّمْنِي لِرَمَضَانَ، وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لِي، وَتَسَلَّمْهُ مِنِّي مُتَقَبَّلًا (لطائف المعارف 280)
"Dan telah berkata Yahya bin Abi Kathir bahawa dari doa para ulama salaf ialah: "Ya Allah, sejahterakanlah aku sehingga datangnya Ramadan, sejahterakanlah Ramadan bagiku dan terimalah dariku (ibadat pada bulan itu)."