
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
SPIRITUAL RECHARGE DI AMBANG RAMADAN 1446H
Alhamdulillah sudah selesai program Selawat buat julung kalinya bagi menyambut Ramadan 2025 tahun ini dan program telah diadakan pada Khamis yang lalu bermula 8.30 pagi. Program ini telah mendapat sambutan yang amat baik dengan penyertaan seramai 55 jemaah lelaki dan 500 jemaah wanita.
Program ini telah bermula dengan ucapan aluan oleh Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan, selaku Pengerusi Majlis dan bacaan doa oleh Ketua Imam MJBBU, Imam Haji Mohd Kamal bin Zakaria. Program bersambung dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Imam Muhammad Hakimin bin Mohd Fazarin dan Imam Mohd Shaiful bin Mohd Esa. Program diteruskan dengan bacaan Qasidah Qul Ya Azim dan Syair Ramadhanu Tajalla oleh Bilal Mohamad Khairulanuar bin Mohamad Dun, Bilal Muhammad Zulfikri Amin bin Zulkifli dan Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan.
Ketibaan Ustaz Mohd Kamal bin Said pada jam 10 pagi sebagai kemuncak program, para peserta berselawat Badar dan program diteruskan dengan penyampaian tazkirah oleh ustaz melalui kitab Zadul Khairat. Ustaz menghuraikan pelbagai kelebihan yang agung pada berselawat di atas kelebihan amal ibadah yang lain dan yang paling utama, mendekatkan cinta kita pada junjungan Baginda SAW. Majlis diselangi dengan pelbagai bacaan selawat yang telah disusun pengarang kitab dan ustaz turut mengijazahkan selawat-selawat yang telah dibacakan.
Pihak masjid mengucapkan jutaan tahniah kepada para peserta yang menyertai program Zikrullah kali ini. Semoga dengan menyertai taman syurga ini, Allah SWT menerima segala amalan kita dan menanamkan rasa cinta kepada Baginda SAW khususnya di sepanjang bulan Ramadan yang akan tiba malam ini.
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا اللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا (41) وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلا (42)
"Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah serta sebutlah nama Allah dengan ingatan serta sebutan yang sebanyak-banyaknya. (41) Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang." (42)
قال عليه السلام : إن هذه القلوب تصدأ كما يصدأ الحديد (إذا أصابه الماء) قيل: يا رسول الله وما جلاؤها ؟ قال: تلاوة كتاب الله وكثرة ذكره (روح البيان 7/192)
Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya hati-hati ini akan berkarat sepertimana berkaratnya besi (apabila terkena air). Baginda ditanya: "Apakah penggilapnya?" Baginda menjawab: "Membaca Al-Quran dan banyak mengingatiNya."