
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
MAJLIS KHATAM PERDANA & SUMBANGAN HARI RAYA 1445H
Alhamdulillah, Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) telah mengadakan Majlis Khatam Perdana & Sumbangan Hari Raya 1445H semalam (06 April 2024). Majlis ini telah mendapat sambutan yang baik dari jemaah masjid dan telah berjalan dengan lancar.
Majlis yang diadakan bagi meraikan pengkhataman tadarus Al-Quran muslimin & muslimat MJBBU, telah bermula pada jam 9.20 pagi dengan ucapan aluan Pengerusi Majlis, Bilal Muhammad Hazim Zaim bin Dandan dan ucapan Pengerusi MJBBU, Ustaz Haji Md Burhanuddin bin Haji Tibek. Majlis diteruskan dengan sesi pengkhataman Al-Quran dan ditutupi dengan bacaan doa khatam Al-Quran oleh Imam 3 MJBBU, Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabaruddin.
Majlis diteruskan dengan aktiviti kemuncak program khatam iaitu Mini Halaqah bersama qari jemputan, Ustaz Muhammad Nur Zuhdi bin Muhammad Daud dan pentadabbur, Ustaz Esby Islami bin Rifai. Ustaz Muhammad Nur Zuhdi yang membaca Surah Al-Baqarah, ayat 183 hingga 186, telah dijelaskan oleh Ustaz Esby Islami dengan huraian yang amat luas dalam penafsiran ayat-ayat tersebut.
Di antara perkongsian Ustaz Esby Islami ialah kemuliaan pada setiap sesuatu yang dikaitkan dengan Al-Quran, termasuklah bulan dan malam yang diturunkan Al-Quran, tempat-tempat yang dibacakan Al-Quran, ruqyah dan air yang dibacakan Al-Quran dan sebagainya, terkait dengannya hukum-hakam, syarat-syarat dan adab-adab membaca mushaf tersebut.
Ustaz Esby Islami bin Rifai juga menerangkan keutamaan berdoa dan berharap kepada Allah SWT dari ayat-ayat tersebut yang menumpukan kewajipan dan syariat ibadah puasa, yakni di bulan Ramadan, umat Islam amatlah dianjurkan untuk berharap dan bermunajat kepada Allah agar diterima amalannya. Nescaya diampunkan Allah SWT segala dosa yang telah lalu.
Para jemaah yang ingin mengambil manfaat dari majlis-majlis berikut, boleh ikuti pautan rakaman siaran tersebut:
???? Majlis Khatam Al-Quran Perdana 1445H: https://www.facebook.com/mjbbUDA/videos/1585476655537776/?app=fbl
???? Mini Halaqah Majlis Khatam Al-Quran Perdana 1445H: https://www.facebook.com/mjbbUDA/videos/413583041279031/?app=fbl
Majlis diteruskan dengan dengan penyampaian saguhati kepada penceramah, sumbangan kepada surau-surau dan sekolah-sekolah BBU serta Madrasah Tahfiz Dar Absyir BBU. Majlis diakhiri dengan agihan saguhati, bubur lambuk kepada para peserta dan sumbangan raya kepada para asnaf Gerbang Infaq MJBBU.
Pihak masjid mengucapkan jutaan terima kasih kepada para jemaah dan ahli asnaf di atas penyertaan dan seterusnya membantu melancarkan majlis ini dengan jayanya serta mengimarahkan masjid. Semoga dengan diadakan majlis ini, para peserta dapat menjiwai kehidupan yang dilazimi dengan Al-Quran dan ilmu pengetahuan tentang Al-Quran khususnya di bulan turunnya Al-Quran, Ramadan al-Mubarak.
قال الإمام النووي رحمه الله: يستحب حضور مجلس ختم القرآن استحبابا متأكدا
Kata al-Imam al-Nawawi: "Sunat menghadiri majlis pengkhataman Al-Quran dengan sunat muakkad (sangat dianjurkan)."
وروى الدارمي وأبو داود بإسنادهما عن ابن عباس رضي الله عنهما أنه كان يجعل رجلاً يراقب رجلاً يقرأ القرآن فإذا أراد أن يختم أعلم ابن عباس فيشهد ذلك (التبيان 159)
"Dan diriwayatkan oleh Al-Darimi dan Abu Daud dengan sanad kedua-duanya, dari Ibn Abbas RA bahawasanya beliau menjadikan seseorang memperhatikan seorang yang membaca Al-Quran. Apabila dia akan mengkhatamkan Al-Quran, hendaklah orang tersebut memberitahu Ibn Abbas sehingga beliau dapat menyaksikan berkhatam itu."