
بسم الله الرحمن الرحيم
اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آله وأصحابه أجمعين
BULAN MUNAJAT MJBBU: HIZIB BAHAR
Alhamdulillah telah selesai Majlis Bacaan Hizib Bahar bersempena dengan program Bulan Munajat MJBBU pada Ahad lalu (11 Februari 2024). Program Bulan Munajat MJBBU yang dilaksanakan bagi mengembalikan bacaan wirid dan zikir bulanan di masjid ini telah berlangsung sejak 28 Januari 2024 bermula dengan bacaan Ratib Al-Attas & Asmaul Husna, Hizib Al-Imam Al-Nawawi, dan kini telah memasuki wirid yang ketiga iaitu bacaan Hizib Bahar.
Program yang dijalankan ini adalah bersesuaian dengan kedatangan bulan-bulan keberkatan dan kebaikan iaitu Rejab dan Syaaban 1445H. Di bulan-bulan ini, umat Islam amatlah dianjurkan untuk memperbanyakkan ibadat, puasa dan munajat di bulan ini. Bahkan kedatangan bulan Syaaban ini menandakan hampirnya Ramadan.
Di majlis Hizib Bahar kali ini, pihak masjid menjemput Ustaz Mohd Kamal bin Mohd Said, pengasas Pusat Pengajian Anwarul Mahabbah, Kluang bagi memimpin dan memberi tausiyah bacaan Hizib Bahar. Ustaz di dalam tausiyahnya menceritakan sejarah penyusunan hizib ini dan menghuraikan fadilat melazimi wirid dan zikir dalam kehidupan agar menjadi kelaziman di pengakhiran hayat, termasuk menjadikan hizib ini sebagai salah satu wirid harian.
Majlis ini telah bermula dengan ucapan kata alu-aluan dari Pengarah program Bulan Munajat MJBBU, Imam Nur Ikhmal Hakim bin Sabaruddin dan diteruskan dengan penyampaian tausiyah dan bacaan Hizib Bahar oleh Ustaz Mohd Kamal bin Mohd Said dan ditutupi dengan Solat Isyak berjemaah serta jamuan.
Pihak masjid mengucapkan ribuan tahniah kepada para jemaah yang telah hadir dan sertai majlis tersebut dan sekaligus mengimarahkan masjid ini. Pihak masjid mengalu-alukan kehadiran para jemaah MJBBU dan masyarakat sekitar bagi program Bulan Munajat MJBBU berikutnya pada Ahad, 18 Februari 2024 dengan bacaan Wirid Khaujakan yang akan dipimpin oleh Imam Haji Mahathir bin Haji Md Noh, Imam Masjid Pasir Pelangi serta tausiyah khas dari Tuan haji Shariff bin Haji Kalam, Pengerusi Khaujakan Johor Bahru.
قال ابو الحسن الشاذلي رضي الله عنه : لقد اخذت حزب البحر عن رسول الله ﷺ تلقينا بتلقين...ومن اراد قضاء حاجة فاليقرا الفاتحة سبع مرات وسورة قريش احدى وعشرين مرة والحزب ثلث مرات وينوي قضاء حاجته فانها تقضى ومن ذكره كل يوم عند طلوع الشمس اجاب الله دعوته وفرج كربه ورفع بين الناس (جنة النصر 3)
Kata Al-Imam Abu Al-Hasan Al-Syazili: "Sesungguhnya aku telah mengambil Hizib Bahar dari Rasulullah SAW, terima secara talkin. Dan barangsiapa ingin menunaikan hajat, maka hendaklah dia membaca Surah Al-Fatihah sebanyak 7 kali, Surah Quraish sebanyak 21 kali, Hizib Bahar 3 kali dan meniatkan hajatnya lalu tertunailah ia. Dan barangsiapa membaca Hizib ini setiap hari ketika terbit matahari, Allah SWT akan memakbulkan doanya, menghilangkan kesusahannya dan mengangkat darjatnya di antara manusia."